Wednesday, September 30, 2009

EIDULFITRI YANG DIRAI

Bismillahirrahmanirrahim.. Wa as-Solatu wa as-Salamu 'ala Rasulillah..
Kenangan memori sekitar Eidulfitri 1430 di Bukit Sekilau, Kuala Terengganu dan Kelantan...

Malam dan Pagi Raya de Bukit Sekilau...

izzul, udin,sarah,iman,naqi,hannan

buat pe tue... main elok-elok, jangan bergaduh...




Birthday sapa nie????
Lebih meriah dengan buat birthday Una (Qistuna) yang ke 4...
Auni,sofea,amni,naqi,udin,una(birthday girl),ain & khaulah menyanyikan lagu happy birthday una...

tok abah dok memerhatikan cucu-cucu sedang bermain...

masing-masing berpakaian baru dan cantik....


tok abah kepenatan selepas selesai bagi duit raya ke cucu-cucunya....
maklumlah kurang lebih 17 orang cucu balik beraya tahun nie....

makan ape tue???

ma nak call sapa tue??

abg ha, kak nani & anak-anak

abg man & k.yang
hai... mana anak-anaknya....
pandai ye cari peluang posing berdua time anak-anak g beraya


ni pun same jugak... posing berdua je ke??
p/s : sofea jangan jealous tengok abah & umi posing berdua....


ni jugak yang bagus...cukup koruumm

khaulah : Selamat Hari Raya buat semua yang mengunjungi blog abi saya....

Berhari raya ke Terengganu & Kelantan...



On the way ke K.Terengganu

Nak sikit susu....



beraya dirumah Pak Dek ( Adik Ma ) di K.Terengganu


Ma berbual dengan adik kesayangannya... maklumlah lama tak jumpa...


Destinasi seterusnya, rumah Mok Long (Kakak Ma)


Mok Long & Ma

cam biasa... buat riuh kat rumah orang....


khaulah pakai stokin & kasut sendiri.... berdikarilah katakan...

Beraya dirumah Pok Cik Hasan


Mak Dek terkini....



Seterusnya ke rumah ayah Ngoh...
Ayah Ngoh je ade sebab Mok Ngoh n anak-anak balik kampung....

Beraya de Rumah Sahabat Se Yarmouk......


Ustaz Azuran.... Sahabat yang hampir 4 tahun tak berjumpa.... gemok doh demo loni....


Afiqah
(Puteri Sulong Azuran & Aisyah)





Asiah, Zure, Aisyah, Ma Zure, Khaulah & Ayu

Khaulah & Atok






Jom Shopping kat Bazar Rantau Panjang

Sampai semula kat kuantan Isnin malam Ahad jam 1.30 pagi.... sampai lewat sebab tunggu kereta siap cat....

sekian....

Saturday, September 19, 2009

MENGHAYATI E'IDULFITRI

Setelah umat Islam berusaha selama sebulan penuh di bulan Ramadhan mengekang nafsu dari melakukan perkara yang ditegah semasa menunaikan ibadah puasa sama ada yang haram atau yang harus di lakukan di luar puasa, sudah setentunya kita bergembira serta bersyukur dengan kedatangan 1 Syawal iaitu hari kemenangan bagi mereka yang benar-benar menghayati Ramadhan.
Sememangnya telah menjadi tradisi bagi masyarakat kita sambutan Idulfitri ini lebih meriah dari hari-hari kebesaran Islam yang lain umpamanya Idul Adhha, yang juga salah satu perayaan yang besar dalam agama kita. Berlainan halnya dengan masyarakat Islam lain seperti di Timur Tengah, bagi mereka Hari Raya Adhha lebih dimeriahkan dan mendapat perhatian dari Idulfitri.
Ketetapan awal Syawwal bagi negara kita adalah berpandukan penglihatan anak bulan. Jika ia berhasil dilihat maka awal Syawal jatuh pada hari tersebut dan kita diharamkan berpuasa pada siang hari esok. Sebaliknya jika anak bulan Syawal tidak kelihatan maka kita wajib meneruskan puasa pada esok hari. Ketentuan ini perlu difahami oleh kaum muslimin khasnya di negara kita. Ada segelintir masyarakat kita jika tidak kelihatan anak bulan Syawal maka mereka tidak akan berpuasa pada esoknya. Di antara alasan mereka ialah berpandukan negara lain yang sudah jatuh bulan Syawwal. Perkara ini sebenarnya tidak tepat menurut hukum syara’oleh itu ikutilah keputusan pihak yang berwajib di negara kita mengenai hal ini.
Idulfitri sebagai hari yang berkat dan hari yang hanya terkhusus bagi kaum muslimin dan juga merupakan satu syiar maka ada cara dan adabnya yang tersendiri yang perlu diikuti sepertimana yang telah digarispandukan oleh syara’.
Di negara kita khususnya sebaik saja diumumkan bahawa hari raya telah jatuh pada malam tersebut sejurus itulah kedengaran bunyi-bunyi mercun yang dipasang bagi meyemarakkan musim perayaan ini. Pada kebiasaannya perkara ini dilakukan oleh golongan muda dan kanak-kanak. Di samping itu juga lagu-lagu hiburan yang bermacam-macam terus berkumandang diikuti dengan pesta-pesta sehingga beberapa hari untuk memeriahkan lagi suasana sambutan hari raya.
Perkara ini adalah satu perkara yang bertentangan dengan kehendak syara’ dan bercanggah dengan sunnah Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang perlu diperbetulkan. Sama ada sedar atau tidak, pada hakikatnya dengan melakukan perkara sedemikian kita seolah-olah meniru sesuatu kaum atau agama lain bagaimana cara mereka merayakan hari kebesaran atau perayaan mereka. Walhal umat Islam sangat dilarang dari meniru dan mengikut-ikut itu.
Padahal di dalam Islam itu sudah ada diperjelaskan di dalam kitab-kitab fiqah bagaimana cara menyambut hari raya seumpama ini. Apabila sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawwal telah sabit dilihat umat Islam disunatkan untuk melaungkan takbir. Hukum sunat ini berlarutan sehinggalah imam mengangkat takbiratul ihram untuk menunaikan sembahyang hari raya. Walau bagaimanapun menurut pendapat yang ashah bahawasanya takbir Idulfitri itu tidak disunatkan sebaik sahaja selesai menunaikan sembahyang.(Kitab Hasyiyatan, 1:357) Ini berbeza dengan takbir bagi Hari Raya Adhha di mana ia disunatkan setiap kali selepas menunaikan sembahyang dan berterusan sehingga selepas menunaikan sembahyang Ashar pada hari Tasyriq yang terakhir.
Takbir pada hari ini disyariatkan bukan sahaja semata-mata untuk memeriahkan suasana hari raya bahkan lebih dari itu ialah merupakan lambang kesyukuran kita kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala dengan anugerah yang dikurniakanNya dan ianya juga adalah merupakan perkara ibadah. Mereka yang menghidupkan malam ini akan diberi ganjaran pahala oleh Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana malam Idulfitri adalah di antara malam-malam yang sunat dihidupkan dan di takmirkan selain dari malam-malam Idul Adhha, awal Rejab dan Jumu‘ah kerana di dalamnya adalah saat dan ketika dikabulkan doa.
Al-Syaikh Qulyubiy di dalam kitab Hasyiyatan telah menyebutkan bahawa Sunat hukumnya menghidupkan malam Idulfitri ini dan malam Idul Adhha dengan berzikir, mengerjakan sembahyang terutama sembahyang sunat Tasbih. Adalah memadai menghidupkan malam ini pada sebahagian besarnya dan sekurang-kurangnya ialah dengan menunaikan sembahyang Isya’ berjemaah serta berazam untuk menunaikan sembahyang Subuh.
(Kitab Hasyiyata Qalyubiy wa Umairah1:359)
Pada pagi Idulfitri pula disunatkan mandi iaitu berniat kerana kedatangan Idulfitri bukannya sahaja membersihkan diri tanpa disertai niat. Perkara sunat mandi ini bersumberkan hadis yang ditakhrijkan oleh Ibnu Majah bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukan mandi pada Hari Raya Fitrah dan Hari Raya Adhha.
Di samping itu adalah sunat memakai bau-baun yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut, memotong kuku dan menanggalkan bau yang tidak sedap. Sunat juga memakai pakaian yang paling elok dari pakaian-pakaian yang dia ada dan yang paling afdhal ialah warna putih serta memakai serban. Perkara-perkara sunat ini hanya khusus bagi kaum lelaki. Manakala itu perempuan-perempuan cantik dan yang berkedudukan adalah makruh hukummnya bagi mereka datang ke masjid. Berbeza dengan perempuan tua mereka adalah disunatkan bersama-sama pergi ke masjid tanpa memakai haruman dan sebagainya. (Kitab Al-Raudhah 2:7)
Inilah pendapat mazhab Syafi‘ie tentang perempuan pergi ke masjid. Walaupun di sana ada hadis menganjurkan perempuan untuk sama-sama hadir ke masjid di hari raya ini, tetapi dalam mazhab Syafi‘ie anjuran itu adalah untuk perempuan-perempuan yang sudah tua.
Idulfitri yang juga sebagai menandakan tamatnya tempoh berpuasa, maka disunatkan sebelum pergi ke mesjid untuk menunaikan sembahyang hari raya memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil. Hal ini bersandarkan kepada hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari daripada Anas katanya yang maksudnya :

"Adapun Rasulullahu Shallallhu ‘alaihi wasallam tidak keluar (untuk bersembahyang sunat hari raya) pada hari raya Fitrah sehinggalah baginda makan beberapa biji kurma."
Menurut riwayat daripada Anas lagi bahawa Baginda memakannya dengan bilangan yang ganjil.
Di dalam kitab Nailul Awthar An-Nakh‘ie ada menyatakan bahawa diantara hikmah disunatkan memakan kurma (tamar) itu ialah dengan manis buah tamar itu dapat menguatkan penglihatan yang mana telah berkurangan disebabkan puasa dan juga di antaranya boleh melembutkan hati dan ia adalah yang paling mudah dari yang selainnya. Oleh itu sebahagian dari At-Tabi‘ien menganggap sunat berbuka dengan benda-benda yang manis seperti madu.
Sementara itu di antara hikmah memakannya dengan bilangan yang ganjil telah berkata Al-Mahlab bahawa perkara itu ialah isyarat kepada keesaan Allah Ta‘ala dan juga adapun Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melakukannya di dalam semua urusan Baginda sebagai jalan bertabarruk dengan demikian itu. (Fathul Bariy,3:122)
Menunaikan sembahyang sunat Hari Raya pula adalah perkara yang paling penting dan utama bagi menyambut Hari Raya ini dari perkara-perkara sunat yang lain di dalam merayakan hari raya ini sebagaimana yang di jelaskan oleh pengarang kitab Fathul Bariy. Hal ini bersandarkan kepada hadis Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang maksudnya :
"Sesungguhnya yang awal-awal sekali kita mulakan pada hari ini (hari raya) ialah bERsembahyang". (Hadis riwayat Al-Bukhariy)
Oleh yang demkian itu perlulah dipastikan semua orang Islam menunaikan sembahyang Idulfitri ini. Bagi mereka yang tidak berkesempatan menunaikannya di masjid atas urusan-urusan tertentu mereka juga boleh menunaikannya secara bersendirian di rumah atau lainnya menurut pendapat al-mazhab di dalam kitab-kitab Syafi‘ieyah.


Hari Raya Fitri adalah hari persaudaraan dan hari kegembiraan maka di hari ini adalah disunatkan sesama Islam saling mengucap tahniah dengan doa-mendoakan di antara satu sama lain seperti mengucapkan:
"تقبل الله منا ومنكم"
Ertinya: "Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimanya daripada awak"
Hukum sunat mengucapkan tahniah di Hari Raya ini diperakui oleh Ibnu Hajar Rahimahullah.(Hasyiyatan 1:359)
Adapun maksud dari kalimah tahniah yang berbentuk doa ini membawa makna semoga diterima puasa dan amal kebajikan yang dibuat di bulan Ramadhan.
Dengan penjelasan di atas membuktikan bahawa hari Raya orang Islam berbeza sekali konsepnya dengan hari raya orang bukan Islam apatah lagi ianya disambut sebaik sahaja selesai menunaikan ibadah puasa. Kalau non muslim berhari raya hanya sekadar untuk berhibur dan bergembira walau ada kaitan dengan unsur keagamaan, maka kita sebagai umat Islam bukan itu cara dan konsepnya. Berhibur di dalam hari raya orang Islam berkonsepkan ibadah sebagai melahirkan syukur kita kepada Allah Subhanhu wa Ta‘ala.
Sebilangan umat Islam hari ini amat mendukacitakan kerana tidak faham akan konsep hari raya yang sebenar lalu tidak dapat menghayatinya sehingga merayakannya seperti mana orang-orang bukan Islam berhari raya. Kalau bangsa lain umpamanya mempunyai lagu khas sempena hari raya mereka maka kita pun memilikinya bahkan lebih daripada mereka dengan rentak dan irama yang bermacam-macam. Perkara ini sebenarnya boleh mendatangkan tanggapan negatif bagi orang-orang bukan Islam terhadap Islam. Mereka menganggap bahawa hari raya orang Islam tidak jauh bezanya dari hari-hari perayaan mereka iaitu hanya sekedar untuk melahirkan rasa gembira dan berhibur.
Selain itu dengan corak sambutan yang mereka lakukan itu adalah kesan dari tidak menghayati Ramadhan sepenuhnya kerana Ramadhan adalah bulan Qana‘ah yang mana dengan itu mampu menghindarkan kita dari memboros dan berlebihan di dalam menyambut Idulfitri.
Kita perlu sedar bahawa hari raya inilah hari menerima ganjaran bagi mereka yang benar benar beramal di bulan Ramadhan.
Hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam diriwayatkan daripada Sa‘ad bin Aus Al-Anshariy daripada ayahnya Radhiallahu ‘anhu Baginda bersabda yang maksudnya :
"Apabila tiba hari Raya fitri berdirilah malaikat di pintu-pintu jalan lalu menyeru: "Pergilah wahai kaum muslimin menghadap Tuhan yang Pemurah yang memberikan kebajikan kemudian memberikan pahala yang banyak, demi sesungguhnya kamu telah diperintahkan untuk melakukan qiamullail maka kamu membuatnya, dan kamu diperintahkan untuk berpuasa pada siangnya maka kamu berpuasa, kamu juga mentaati Tuhan kamu maka kamu terimalah balasan kamu, maka apabila bersembahyang maka akan menyerulah orang yang menyeru: "Ketahuilah bahawasanya Tuhan kamu telah mengampunkan kamu dan pulanglah menuju tunggangan kamu dan itu adalah hari menerima balasan dan dinamakan hari itu di langit sebagai hari al- Ja‘izah (hari mendapat ganjaran). (Hadis riwayat At-Thabrani)

Oleh yang demikian marilah kita sama-sama memperbanyak amal ibadah di hari ini dengan tidak mencampur-baurkannya dengan perkara maksiat. Seperti berziarah umpamanya, yang mana amalan berziarah ini sangat dituntut oleh Islam . Lebih-lebih lagi masyarakat kita mengambil kesempatan hari raya ini untuk kunjung-mengunjugi sayugialah jangan dicemari dengan pergaulan bebas di antara yang bukan mahram serta aktiviti yang merosakkan keimanan yang telahkita sucikan di sepanjang Ramadhan, seperti pesta tari-menari dan berkaroake sehingga mengganggu ketenteraman jiran-jiran yang berdekatan yangmana perbuatan ini adalah amat di tegah di dalam Islam. Selain dari itu amalan besedekah di hari raya ini adalah juga merupakan tuntutan sunat di mana Baginda menganjurkan untuk bersedekah sebaik sahaja selepas menunaikan sembahyang hari raya.
Kesimpulannya hari raya fitrah ini adalah hari hablun minallah dan hablun minannas iaitu hari mempererat serta dan memperkukuh hubungan diantara makhluk dengan Khaliq dan diantara makhluk dengan makhluk.
Maka sama-samalah kita hidupkan malam dan siang hari raya ini dengan perkara yang disunatkan sama ada yang langsung dijelaskan oleh hadis Baginda atau yang secara mafhumnya adalah dituntut di dalam Islam berpandukan huda (petunjuk) Rasulullah yang mana jika kita mengikut sunnah Baginda bererti kita mencintai Allah sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya :
"Katakannlah (wahai Muhammad) jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku nescaya Allah mengasihi kamu" (Surah Ali ‘Imran:31)

Sumber Asal : MUFTI NEGARA BRUNEI
Dicopy : IbnuNafis

Wallahu 'Alam.

Thursday, September 17, 2009

IHYA' RAMADAN : MAJLIS KHATAM AL-QURAN

Bismillahi Wa as-Solatu Wa as-Salamu 'Ala Rasulillah....


Alhamdulillah, semalam telah berlangsung program kemuncak sempena Ihya' Ramadan Al-Mubarak 1430 iaitu Majlis Khatam Al-Quran & Sumbangan Kepada anak Yatim/Miskin. Majlis tersebut berlangsung daripada jam 10.00 pagi dan berakhir pada jam 12.00 tengahari.


Peserta Khatam al-Quran diarak dengan paluan kompang dan bunga manggar


Peserta Khatam Mengambil tempat di pentas.

Fatih Munabbih memberi sedikit pesanan kepada para peserta
(Pemilik Blog bersama Ust Khairul )



Peserta Khatam memulakan bacaan bermula dari Surah Ad-Dhuha hingga An-Nas

Kehadiran Guru-guru & Murid-murid memeriahkan lagi majlis

Ucapan Guru Besar.


Penyempaian cenderahati kepada peserta Khatam.

Penyampaian sumbangan kepada Anak Yatim

Semoga dengan majlis yang diadakan menjadi salah satu medan untuk mendidik anak murid kearah membudayakan bacaan Al-Quran dalam seharian dan menyemai benih supaya suka bersedekah kepada mereka yang memerlukan terutamanya dibulan Ramadan, lebih-lebih lagi kepada anak yatim.

Sebagaimana mafhum sabda Nabi saw : "Sebaik-baik sedekah ialah sedekah pada bulan ramadan".

Dan dalam hadis lain Sabda Nabi saw bermaksud : "Aku dan penjaga (memberi perlindungan) kepada anak yatim seperti ini di dalam syurga (dengan mengisyaratkan dua jari baginda iaitu dengan merapatkan jari telunjuk dan jari hantu).

Wallahu a'lam.

Monday, September 14, 2009

Disiplin Ilmu Islam: di antara kejumudan dan berselerak

Bismillahi Wa as-Solatu Wa as-Salamu 'ala Rasulillah...

Salam Ramadan... Pada kali ini ana ingin berkongsi dengan sahabat sekalian satu artikel yang cukup bermanfaat untuk menjadi bahan bacaan dan rujukan bersama... Semoga kita beroleh manfaat bersama.. Artikel ini ana petik dari blog : muqabalah2009.blogspot.com... Selamat membaca...

Masyarakat Islam di negara kita sedang berdepan dengan polemik dalam pendekatan 'menghayati sunnah' Rasulullah; dulunya dikatakan terlalu jumud dalam menghayati sunnah kerana penghayatan dibuat berdasarkan huraian ulama mazhab, dan kini begitu berselerak kerana ada pihak-pihak yang membuat huraian kepada ayat-ayat dan hadith hukum secara 'pandai-pandai sendiri' tanpa terikat dengan huraian yang telah diterima oleh ulama dari mazhab-mazhab yang telah lama established.

Kedua-dua pendekatan ini, (semada kelompok yang mengikut mazhab atau kelompok yang gagah untuk terus mengikut ayat dan hadith secara langsung), adalah usaha untuk menghayati sunnah, tentu adalah suatu keterlanjuran yang parah untuk kita menuduh yang kefahaman ulama mazhab itu tidak berdasarkan ayat al-Quran dan sunnah Rasul. Seolah-olah pendapat ulama dalam mana-mana mazhab ahlu as- sunnah itu tidak dibina atas dasar kefahaman ulama berdasarkan nas al-Quran dan sunnah. Yang benar-benar mengikut sunnahnya adalah golongan yang mengelar diri mereka salafi atau akhir-akhir ini menggelar diri mereka sebagai golongan athari.

Tradisi Ilmu dalam Islam agaknya berlawanan dengan sebahagian besar tradisi ilmu duniawi. Dalam Islam, ilmu yang dimiliki oleh golongan salaf as Soleh (3 generasi terawal Islam) adalah lebih jitu daripada generasi yang datang dibelakang, secara umumnya ilmu dan faham dipercayai semakin mengecup dan menurun mengikut perjalanan masa.

Di dalam sebahagian besar tradisi ilmu duniawi, ilmu dan faham semakin berkembang dan meningkat dengan perjalanan masa. Semakin baharu sesuatu penemuan dalam ilmu itu, semakin ke depanlah ia. Penemuan physics Einstein mengatasi physics Newton; huraian Stephen Hawkings tentang Relativity di anggap antara yang paling ke depan. Dan begitulah seterusnya. Penemuan baru yang diterima dan diiktiraf oleh pakar-pakar sesuatu ilmu itu akan mungkin sahaja membatalkan atau membataskan huraian hukum yang ada pada penemuan yang sebelumnya. Ianya umpama sebatang sungai yang bermula di kawasan pergunungan sebagai mataair yang sangat kecil dan berubah semakin membesar sehingga menemui muaranya di lautan (mungkin dapat dianggap unified field theory yang mampu memadukan segala hukum-hukum dalam ilmu-ilmu sains yang berbeza didiplin?). Bahkan ianya lebih bebas daripada perjalanan sebuah sungai, kerana sungai masih memerlukan sumber air dari puncanya, tetapi perkembangan ilmu sains dapat berkembang secara terputus dari sejarah percambahannya.

Bagaimanapun dalam disiplin ilmu sains terdapat tertib yang dijaga secara consensus walaupun ianya adalah ilmu yang berbentuk experimental (tajribiyyah), iaitu bukan semua pendapat individu yang terlibat dalam bidang ilmu itu akan diraikan. Pendapat-pendapat baru yang didatangkan dengan bukti-bukti yang sukar dicabar oleh mereka yang di dalam bidang itu sahaja yang akan diraikan. Terdapat standard yang perlu dilepasi oleh pengkaji sebelum pendapat dan penemuannya dikira layak untuk diterbitkan dalam journals, apa lagi untuk layak dipertimbnagkan oleh rakan sebaya di dalam bidang tersebut. Itupun masih banyak penemuan dna pendapat baru yang tidak dapat diterima oleh umum ahli-ahli dalam bidang itu.

Kiranya dalam ilmu-ilmu yang dikira sangat menggalakkan percubaan, bahkan ilmu itu sendiripun didirikan di atas dasar penemuan-penemuan daripada percubaan ahli-ahlinya, itupun masih terdapat banyak perkara-perkara yang diterima secara taqlidi. Pelajar kimia diajar tentang Periodic Table, kenapa tidak dibiarkan sahaja pelajar bahkan pensyarah menyusun sendiri kumpulan dan sifat elemen-elemen yang ditemuinya, mengikut kaedahnya sendiri pula?Sedangkan elemen-elemen itu memang dapat diperolihi oleh para pensyarah dan pelajar.

Tetapi dalam ilmu agama, kita disyorkan oleh golongan tertentu agar menentukan hukum-hukum dari elemen-elemen agama itu sendiri, iaitu al-Quran dan as-Sunnah. Saya teringat perkataan almarhum Syaikh Hamid, antara guru utama Syaikh Said Hawwa yang telah mengulas phenomena ini dengan mengatakan hasil ijtihad mereka ini (penetapan hukum oleh golongan ini) adalah celaru dan gharib untuk diterima-pakai oleh golongan abid yang berakal, apatah lagi untuk diterima oleh alim yang beramal.

Mereka berusaha untuk meremehkan golongan ulama dengan mendatangkan sesuatu perbincangan yang terpencil dalam kitab yang tertentu (bukanpun rujukan utama dalam mazhab) dan dijadikan seolah-olah ianya adalah isi utama kitab-kitab feqah mazhab. Lalu diserang perkara itu seolah-olah itulah musuh yang besar dan sangat mengancam. Umpama Don Quixote yang berkhayal dan membayangkan yang bangunan kincir angin itu adalah raksasa besar serta ganas dan dia terus menyerangnya bertubi-tubi dan lembingnya! Masyarakat kita juga punya Don Quixote, dan seperti Don Quixote dia juga ada pengikut yang setia. Don Quixote menunggang kuda, dan yang ini mungkin ada bahtera!

Dalam sains, pada awalnya kita menerima apa-apa penemuan yang telah diterima oleh ahli-ahli ilmu tersebut sebelum kita, sekiranya selepas itu kita mempunyai kelebihan faham yang mengatasi apa yang telah diterima, maka kita akan mengemukan faham itu. Sumbangan kita itu akan dijadikan tambahan kepada yang ada, atau mungkin menjadi alternatif atau menggantikan terus kepada apa yang telah diterima. Itupun dalam ilmu-ilmu sains, sebagaimana yang kerap diucapkan oleh Fritjof Chapra, What is certain is the uncertainty.

Ilmu agama adalah ilmu tentang kebenaran yang menyelamatkan (the saving truth), ilmu yang akan kita bawa bertemu Tuhan. Sudah tentu kita perlu tahu bagaimanakah peribadi ulama yang kita ingin ikuti, kita perlu lihat pengiktirafan ulama lain terhadap kewibawaan ilmunya. Adalah teramat malang untuk kita sebagai orang awam sekiranya kita meninggalkan perkataan seorang ulama (apa lagi sekiranya pendapat sekumpulan besar ulama) yang sudah diakui kewibawaannya kerana terpedaya dengan pandangan seorang dua yang belum tentu keupayaannya dalam memahami nas-nas agama dan belum tentu mempunyai sifat wara dalam menjalani kehidupan mereka.

Seperkara yang agak jenggel tentang kelompok ini ialah sikap mereka yang sangat kritikal terhadap perkataan-perkataan ulama dalam mazhab tetapi mereka dapat menelan dengan mudah (sebenar bertaqlid) kepada pandangan-pandangan ulama yang mempunyai kecenderungan seumpama mereka. Mereka tidak banyak soal, hal mereka ini jelas terpamir dalam sikap mereka terhadap persoalan hukum feqah dan juga di dalam tarjih riwayat dan kedudukan sesebuah hadith. Ada yang menerima perkataan Syaikh Nasiruddin alBani berkenaan hadith secara bulat-bulat, sehingga keputusan alBani sekan-akan mutlak dan mengatasi apa-apa yang dicatit oleh ulama hadith sebelum dan selepasnya. Bukankah ini juga sikap taqlid yang patut dihindari oleh mereka?

Friday, September 11, 2009

KOMEN TERHADAP ARTIKEL ‘ISLAM: ANTARA NAS DAN PENDAPAT TOKOH’

Bismillahi Wa as-Solatu Wa as-Salamu 'ala Rasulillah...

Disini saya ingi mengajak kalian membaca komen tentang satu penulisan yang di tulis oleh 'Sarjana' Dr MAZA Oleh Dr Asmadi Mohamed Naim (drasmadinet.blogspot.com).. Berikut ialah komen tentang penulisan Dr MAZA.....
Saya membaca tulisan Dr Asri bertajuk: Islam: Antara Nas Dan Pendapat Tokoh. Pada saya Dr. Asri mengulas perbahasan kitab-kitab ulama tanpa mengetahui susur galur dan sebab musabab kenapa perbahasan sedemikian muncul. Ini dikeranakan latarbelakangnya pengajian ijazah pertama Bahasa Arab Jordan yang tiada subjek Syariah kecuali terlalu sedikit (seumpama pelajar sastera Melayu di Malaysia, tidak seperti Kuliah Bahasa Arab di al-Azhar), kemudiannya dia terus terjun dalam pengajian hadith di peringkat Masters (secara penyelidikian dan bukan berguru) dan hanya PhDnya sahaja ada 8 kursus yang perlu dilalui secara berguru. Hubungannya dengan ulama-ulama adalah terlalu sedikit berbanding pembacaan.
Untuk mengkritik kitab-kitab turath, dia memilih satu huraian kitab yang ditulis oleh ulama yang tidak terkenal di kalangan ulama mutaakhirin. Dia tahu dia tidak akan berjumpa perkara sedemikian dalam kitab mutaqaddimun mazhab. Dia tahu, dia sukar untuk mengkritik syarahan Imam al-Shafie, al-Mawardi, al-Nawawi dalam aliran mazhab Shafie. Demikian sukar juga dikutuk pandangan Abu Yusuf, Muhammad dan Zufar dalam mazhab Hanafi. Sukar juga di'pandir'kan pandangan pemuka mazhab Malik seperti Ibn Rusyd al-Jad dan Ibn Rusyd al-Hafid dan al-Dasuqi sebagaimana sukar mempertikai Ibn al-Qudamah, al-Maqdisi dalam mazhab Hanbali.
Sesiapa yang mempelajari 'madkhal al-fiqh' (Pengantar al-Fiqh) sepatutnya menyedari adanya budaya 'araaitiyyun' (kalau sekiranya... araaita) di kalangan ulama untuk membahaskan kemungkinan-kemungkinan berlakunya sesuatu peristiwa. Sekira sangkaan baik ada pada pelajar, ia akan merasakan bagaimana hebatnya seseorang imam itu berusaha mengembangkan perbahasan dalam sesuatu perkara. Itu ijtihad mereka dan sumbangan mereka. Kebiasaan guru-guru Shariah menerimanya sebagai satu usaha ulama-ulama silam memperhalusi setiap perbahasan dan bersangka baik dengan ulama-ulama ini.
Tugas pelajar-pelajar Shari'ah kemudiannya menyaring dan memahami perbahasan tersebut untuk disampaikan kepada masyarakat awam. Bahkan daripada contoh-contoh yang diberi, akan terbentuk kaedah mengeluarkan hukum di kalangan pelajar Shari'ah. Bukan semua orang layak menjadi mujtahid.
Sekali lagi 'isu kecil' berus gigi diperbesarkan utk menunjukkan dan membuktikan kebodohan ulama silam. Bukankah ada pandangan ulama silam yang tetap membenarkan bersugi selepas zohor?
Pada saya, ulasan negatif terhadap ulama-ulama tersebut menunjukkan 'kepandiran' orang yang memperkecilkan ulama-ulama silam tersebut. Kalau dia melalui pengajian rasmi Shari'ah di University of Jordan yang saya sama universiti dengannya (dan hampir sama tahun pengajian), dia akan berjumpa dengan ramai pensyarah-pensyarah yang menyindir pelajar-pelajar supaya menjaga adab dengan ulama. Bahkan ada yang menyebut: 'Hum rijal wa nahnu zukur' iaitu 'mereka lelaki (yang sebenar) dan kita lelaki (biasa)' sebagai sindiran kepada mereka yang merasakan setaraf atau lebih hebat dari ulama-ulama silam tersebut walaupun baru setahun dua di Kuliah Shari'ah. Bahkan pengajian saya dengan tokoh-tokoh Salafi Jordan seperti Prof. Dr Umar al-'Ashqar (yang digelar Salafi Tulen Jordan), Prof. Yasir al-Shimali dan lain-lain menunjukkan bagaimana mereka menghormati pandangan Imam-Imam mazhab tersebut dan anak-anak muridnya. Tidak pernah keluar dari mulut Prof. Umar perkataan 'banyak contoh-contoh bodoh yang dibentangkan oleh ulama Fiqh!'
Demikian juga, malang bagi Dr. Asri apabila semua 'busuk' yang dia lihat pada ulama silam. Takut-takut 'bahtera perubahan' menjadi 'bahtera fitnah'... Pada saya ini sudah menjadi 'keterlanjuran dan fitnah melampau' Dr Asri terhadap ulama! Yang di sebaliknya dia menyeru: 'Jangan ikut ulama, tapi ikutlah aku kerana aku bukan Pak Pandir dan akulah paling benar'.
Manakala ulasannya dalam Hashiah al-Bajuri, dia tidak menyatakan mukasurat. Saya lebih cenderung dia tersilap menterjemahkan. Terjemahan asal ialah memasukkan ‘keseluruhan kemaluan’. Kalau benarpun terjemahannya, ia di bawah konsep bahasa Arab yang di sebut ‘lanjutan contoh’ bukan sebagai ‘contoh utama’. Jadi, dia seharusnya lebih memahami perbahasan ulama-ulama fiqh dan seharusnya cuba bersangka baik kepada ulama-ulama tersebut sebagaimana dia boleh bersangka baik kepada Albani walaupun banyak 'tanaqudhat' (pandangan yang saling berlawanan samada dalam kitab yang sama atau kitab berbeza).
Wallahu a’lam.
Allahu musta'an.

Saturday, September 5, 2009

MAJLIS RESTU ILMU

Bismillah wa as-Solatu wa as-Salamu 'ala Rasulillah...
Pada hari Jumaat lalu, telah diadakan Majlis Restu Ilmu kepada murid-murid tahun 6 yang bakal menghadapi peperiksaan UPSR yang akan berlangsung pada 8-10 september ini. Majlis tersebut merupakan simbolik kepada penyerahan Ilmu oleh guru-guru dan penerimaan Ilmu oleh murid-murid tahun 6. Semoga dengan Majlis yang berlangsung semalam, maka diantara guru dan murid saling redha meredhai, agar ilmu yang diperolehi oleh murid selama ini tidak terhijab. Berikut ialah gambar sekitar majlis tersebut ;




Cikgu Norizan sedang mempengerusikan majlis


Pentadbir sekolah & Penyelaras Tahun 6

Guru-guru dan murid-murid sedang mendengar taklimat




Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Al-Fadhil Us Khairul B Abas

Ucapan Oleh Pn Guru Besar


Ucapan Selamat Menghadapi

Ucapan Penyerahan Ilmu oleh Cikgu Fazilah Othman

Ucapan Penerimaan ilmu oleh Adik Aiman


Majlis Penyerahan Alat Tulis & Salam

Semoga kalian berjaya dalam peperiksaan UPSR dengan kejayaan yang cemerlang.... Pastikan "5A" dalam genggaman.....
Wassalam....