Saturday, December 26, 2009

GOLONGAN AHLUSUNNAH WAL JAMAAH MENURUT IMAM AL-BAGHDADI

Oleh : Dr Asmadi Mohamed Naim
SAYA membaca tulisan mengenai makna atau definisi Ahlu al-sunnah wal Jamaah (ASWJ) daripada seorang penulis mingguan pada pertengahan November 2009 lepas. Penulis mengutip definisi Ahlussunnah yang ditulis oleh Imam al-Baghdadi (wafat429H) dalam kitabnya, al-Farq Baina al-Firaq.
Namun malangnya perkataan al-turuq al-sifatiah atau 'jalan-jalan sifat' dalam definisi tersebut diabaikan. Walhal, itulah antara perkara yang penting untuk menentukan sama ada tauhid yang mensyarahkan sifat-sifat 20 adalah sesuatu yang baru atau sememangnya sudah lama.
Pada saya, ada sedikit masalah 'ketidakjujuran ilmu', bila dia tidak menerangkan secukupnya maksud al-Baghdadi apabila mensyarahkan pengertian ASWJ.
Demikian juga, ada sebuah lagi penulisan yang menceritakan aliran pemikiran tauhid di Nusantara, yang merujuk bahawa aliran yang mensyarahkan Sifat 20 hanyalah muncul selepas tahun 1,000 Hijrah melalui Imam Sanusi dengan kitabnya Umm al-Barahin.
Penulis tidak merujuk kemunculan metod tersebut kepada penyusunnya yang sebenar iaitu Abu Hassan al-Asy'ari (wafat324H) yang muncul pada akhir kurun ke 3 Hijrah. Ini masalah 'sikap amanah' dalam penulisan.
Dalam kesempatan ini, saya hanya mahu menjelaskan siapakah Ahlussunnah menurut penulisan Imam al-Baghdadi yang telah menjadi rujukan definisi ASWJ supaya pembaca dapat memahaminya secara jelas.
Beliau menyatakan (hal.19): "Maka golongan yang ke 73 ialah Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu golongan ahl al-ra'y (Ibu Hanifah dan murid-muridnya) dan ahlu al-hadis; bukan mereka yang mempermain-mainkan hadis; dan ulama fikah mereka, penghafal al-Quran mereka, perawi hadis daripada mereka, dan ulama hadis di kalangan mereka, semuanya sepakat atas keesaan Pencipta, keesaan sifat-sifat-Nya, keadilan-Nya, hikmah-Nya dan nama-nama-Nya dan pada bab kenabian dan kepimpinan, hukum hudud dan pada perkara usuluddin."
Seterusnya, Imam al-Baghdadi Rahimahullah memperincikan lapan golongan yang termasuk dalam Ahlusunnah wal Jamaah (lihat bukunya dari halaman 240-243):
Golongan pertama, mereka yang menguasai ilmu khususnya dalam bab Tauhid (meng-esa-kan Allah) dan kenabian, hukum-hukum wa'ad (khabar gembira) dan wa'id (ancaman seksa), pahala dan balasan, syarat-syarat ijtihad, pemerintahan dan kepimpinan. Mereka yang melalui jalan ini ialah ulama Kalam (Tauhid) yang bebas dari fahaman tasybih (menyerupakan sifat Allah dengan makhluk) dan bebas daripada fahaman ta'til (yang menafikan sifat-sifat yang Azali bagi Allah SWT), dan bebas daripada bidaah al-Rafidhah, Khawarij, Jahmiah, Najariah dan seluruh pengikut bidaah dan hawa nafsu.
Golongan kedua ialah imam-imam fiqh sama ada kumpulan yang cenderung pada rakyun (dalil aqal) atau hadis. Iaitu mereka yang beriktikad (berkeyakinan) pada perkara usuluddin dengan mazhab-mazhab sifat pada Allah dan pada sifat-sifatnya yang azali (membicarakan sifat-sifat Allah SWT sebagaimana sifat 20), dan mereka bebas daripada fahaman Qadariah dan Muktazilah; mereka menetapkan melihat Allah Taala dengan mata (di akhirat kelak) dengan mata tanpa tasybih (menyerupakan Allah dengan makhluk), tanpa ta'til' (menafikan sifat-sifat Allah).
Termasuk dalam golongan ini ialah murid-murid kepada Malik, al-Shafie, al-Auza'i, al-Thauri, Abu hanifah, Ibn Abu Laila (wafat148H), sahabat-sahabat Abu Thaur (wafat240H), sahabat-sahabat Ahmad bin Hanbal (wafat241H), ahli al-Zahir, keseluruhan ulama fiqh yang beriktikad dalam bab-bab akal ini dengan prinsip-prinsip Sifat (tauhid yang membahaskan Sifat-sifat Allah). Dan mereka tidak mencampurkannya dengan apa-apa daripada ahli bidaah dan hawa nafsu.
Golongan ketiga ialah mereka yang menguasai ilmu-ilmu yang berkaitan dengan periwayatan hadis dan sunnah yang disampaikan oleh Nabi SAW, mereka berupaya membezakan antara sahih dan cacat antaranya, mengetahui sebab-sebab al-jarh wa al-ta'dil (kredibiliti seorang rawi) dan mereka tidak memasukkan ilmu mereka dengan apa-apa daripada ahli bidaah dan nafsu yang menyesatkan.
Golongan keempat ialah kaum yang menguasai kebanyakan topik-topik sastera Arab, nahu dan saraf. Mereka berada atas jalan pakar bahasa seperti al-Khalil (wafat175H), Abu 'Amr bin al-'Ala (wafat 145), Sibawaih (wafat 180H), al-Farra' (wafat 207H), al-Akhfash (wafat 215H), al-Asma'i, al-Mazini (wafat 236H), Abu Ubaid (wafat 224H) dan seluruh imam-imam Nahu sama ada ulama-ulama Kufah atau Basrah, yang mana mereka tidak mencampurkan ilmu mereka dengan sesuatu daripada bidaah al-Qadariah, atau Rafidhah atau Khawarij.Maka sekiranya seseorang itu cenderung ke arah nafsu yang menyesatkan, maka bukanlah ia daripada golongan Ahlussunnah walaupun kata-katanya adalah 'hujah' dalam ilmu bahasa dan Nahu.
Golongan kelima, antaranya ialah mereka yang menguasai ilmu yang berkaitan dengan jenis-jenis qiraat untuk al-Quran dan jenis-jenis tafsiran al-Quran, penakwilannya berdasarkan mazhab-mazhab Ahlussunnah, tanpa berpegang dengan takwilan ahli nafsu yang sesat.
Golongan keenam ialah, antaranya ialah para ahli zuhud sufi yang mempunyai ilmu maka jauh pandangan, yang telah dinilai maka ia diiktibarkan, mereka reda dengan hidup yang ringkas, mereka mengetahui bahawa penglihatan, pendengaran dan hati dipertanggungjawabkan terhadap kebaikan dan kejahatan; menghisab dengan neraca zarah-zarah, justeru menyediakan diri mereka dengan sebaik-baik persiapan untuk hari Kiamat. Perkataan mereka berjalan di atas dua jalan iaitu secara jelas dan isyarat di atas jalan ahli hadis, tanpa mereka 'membeli' pandangan yang mempermainkan hadis. Mereka tidak melakukan kebaikan kerana riak, tidak pula meninggalkan kebaikan kerana malu kepada orang lain. Agama mereka hanya satu dan menafikan pentasybihan (menyerupakan Allah dengan makhluk), mazhab mereka ialah tafwidh (menyerahkannya) kepada Allah SWT, bertawakal kepada-Nya, penyerahan kepada-Nya, tenang dengan apa yang direzekikan-Nya.
Golongan ketujuh ialah, antaranya kaum yang terikat dengan barisan hadapan peperangan dengan orang-orang kafir, berjihad melawan musuh-musuh Islam, mereka menjadi benteng melindungi umat Islam, meninggalkan isteri-isteri mereka dan negara mereka dan menzahirkan pada barisan hadapan mereka Mazhab ASWJ.
Golongan kelapan ialah, antaranya kebanyakan negara-negara yang secara kebiasaannya terdapat syiar ASWJ, bukannya negara yang menzahirkan syiar ahli hawa-nafsu yang sesat.
Itulah huraian sebenar al-Imam Abdul Qahir bin Tohir bin Muhammad al-Baghdadi. Rupanya, ramai sebenarnya yang diiktiraf sebagai Ahlussunnah. Ia berbeza dengan pandangan yang meminoritikan dan mengeksklusifkan ASWJ hanya untuk golongannya sahaja, dengan tuduhan sesat dan bidaah pada perkara remeh-temeh seperti qunut, talkin, zikir selepas solat, berdoa beramai-ramai dan sebagainya. Lihat kata Imam al-Baghdadi tentang perkara-perkara cabang (hal. 19):
"Mereka (ASWJ) hanya khilaf mengenai halal dan haram pada cabang hukum, bukanlah khilaf tersebut mengundang kepada sesat dan fasik; mereka adalah puak yang terselamat, kerana mereka bersatu pada keesaan Pencipta dan qidam-Nya, qidam segala sifatnya sejak azali, dan harus melihat-Nya tanpa sebarang perumpamaan dan gangguan, serta yakin terhadap isi kandungan kitab-Nya dan rasul-Nya, dan mengikut segala syariat Islam dan menghalalkan segala yang dihalalkan oleh al-Quran, dan mengharamkan segala yang diharam oleh al-Quran serta menerima apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW dan beriman pada hari kebangkitan dan perhitungan, dan soal dua Malaikat dalam kubur, beriman dengan telaga Kauthar dan Timbangan".
Semoga masyarakat Islam tidak terbelenggu dengan perpecahan yang lebih parah, lantaran perkara-perkara tersebut.
Banyak masa yang perlu digunakan untuk memperbetulkan generasi muda yang menyongsang arus dengan pelbagai gejala sosial. Wallahu a'lam.

Sunday, December 6, 2009

PEMIKIRAN ANTIMAZHAB ANCAM SYARIAT ISLAM

بسم الله الرحمن الرحيم

Pemikiran antimazhab ancam syariat Islam
http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Agama/20091205001609/Article/

Oleh Muhammad Rashidi Wahab
shidi_buluh@yahoo.com

Golongan dukung slogan tertentu cenderung kepada perbahasan boleh gugat umat MUNGKIN ada sesetengah golongan cetek penyelidikan dan pengetahuannya mengenai perbahasan dalam ilmu agama Islam berpendapat masyarakat awam hari ini tidak perlu mengikut mana-mana mazhab dan ulama, cuma perlu mengikut al-Quran dan sunah secara terus.
Mereka berpendapat cukup dengan segulung ijazah sarjana atau PhD sudah melayakkan seseorang itu tidak mengikuti mana-mana mazhab. Tidak cukup dengan itu, mereka juga mengatakan mazhab adalah rekaan ulama silam semata-mata dan tiada kaitan dengan Islam.
Sesiapa saja yang mengikut mazhab termasuk di kalangan pelaku bidaah mungkar, bahkan ada yang lebih dangkal mengatakan seseorang itu sesat dan kafir. Adakah kenyataan ini benar-benar ilmiah?
Apabila kenyataan seperti itu keluar daripada mulut seseorang, maka terbukti kecetekannya dalam memahami perbahasan ulama muktabar. Mereka membayangkan ulama mazhab terdahulu mengeluarkan fatwa tanpa sandaran atau lalai terhadap nas al-Quran dan sunah.
Penyakit seperti itu berpunca daripada pemikiran alLa Lamazhabiyyah (antimazhab) yang menggesa masyarakat awam supaya tidak bermazhab, sedangkan mengikuti kefahaman dan penjelasan dengan bertanyakan sesuatu masalah tidak diketahui kepada ulama digalakkan agama Islam.
Pujian patut diberikan terhadap usaha tegas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang menyedari bahaya pemikiran alLa mazhabiyyah ini, lantas mengeluarkan risalah penerangan bertajuk 'Bahaya Antimazhab'.
Masih ramai lagi ulama bangkit menjelaskan perkara itu melalui tulisan dan ceramah supaya masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan kata-kata golongan itu.
Selain itu, salah seorang ulama Islam masa kini iaitu Syeikh Prof Dr Muhammad Said Ramadhan al-Buti turut menulis sebuah kitab bertajuk alLa Mazhabiyyah Akhtar Bidaah Tuhaddid al-Syariah al-Islamiyyah (kitab ini ada diterjemahkan di dalam Bahasa Melayu) membicarakan perihal alLa Mazhabiyyah secara khusus.
Berkata Imam al-Ghazali, "Bagi golongan awam adalah wajib mereka meminta pendapat dan mengikut (bertaqlid) dengan ulama. (Kitab: al-Mustasfa).
Jika mereka mendakwa dan mendabik dada dengan dakwaan mereka hendak mengikut al-Quran dan sunah Rasulullah SAW saja, maka ketahuilah ulama muktabar terdahulu beribu-ribu kali ganda lebih memahami dan mengenali sesuatu dalil itu sebelum mengeluarkan sebarang hukum.
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barang siapa yang mengambil ilmu (warisan ilmu) itu, ia sudah mengambil habuan yang paling sempurna." (Hadis riwayat Ahmad, Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah)
Mereka hanya berpegang dan menganggap pendapat mereka saja yang betul walaupun hakikatnya mereka tidak memahami dalil maksum. Golongan ini turut merasakan mereka sajalah yang mengikuti al-Quran dan sunah iaitu sumber utama untuk mengeluarkan hukum, lantas mengatakan sesiapa tidak mengikut pendapat mereka adalah jumud, tidak tajdid, tidak ilmiah dan tidak memahami dalil. Adakah mereka juga maksum seperti Rasulullah SAW?
Berkata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi: "Ya, benar kalian berpegang dengan nas maksum yang diwahyukan daripada Allah Taala tetapi kefahaman kamu terhadap nas itu bukanlah wahyu apatah lagi maksum, kalian hanya berpendapat berdasarkan zahir nas saja." (Kitab: Kaifa Nataamalu Maa Turath).
Mereka mendakwa imam ini cuba mengalihkan perhatian manusia daripada syariat dibawa Rasulullah SAW kepada mazhab tajaan mereka sendiri. Golongan ini adalah pendukung slogan tertentu dengan selalu mengajak kepada perbahasan, perdebatan, pengkajian semula untuk menyokong pendapat mereka sendiri yang mengatakan ijtihad itu wajib dan taqlid itu haram.
Berkata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi: "Sesungguhnya ramai di kalangan golongan muda zaman sekarang yang hanya membaca beberapa kitab terutama di dalam ilmu hadis. Lantas merasakan mereka sudah pakar dalam ilmu padahal mereka belum pun mengecapi permulaannya. Mendakwa mereka mampu berijtihad di dalam urusan agama, pada masa yang sama, ilmu bahasa Arab serta komponennya serta nahu dan saraf tunggang langgang.
"Seandainya anda menyoal mereka supaya irab sebaris ayat, mereka tidak mampu menjawabnya dengan baik. Mereka juga tidak mempelajari usul fiqh! Hanya meneka sebarang dugaan kononnya mengetahui akan sebarang permasalahan Sesungguhnya mereka ini seperti kata Imam Zahabi: Teringin untuk terbang tetapi tiada bulu." (Kitab: al-Sahwah al-Islamiyyah Min al-Murahaqah Ila al-Rusyd)
Kata-kata Syeikh Prof Dr Yusof al-Qaradhawi sememangnya benar-benar berlaku di kalangan masyarakat kita di Malaysia. Kita berani mengatakan jika kita bertanya kepada golongan ini, berapa banyakkah ayat al-Quran dan al-Hadis yang mampu mereka hafal dan fahami, kita yakin jawapan mereka ialah amat sedikit hafalan dan fahaman mereka walaupun memiliki segulung PhD.

Penulis ialah mahasiswa Universiti Al-Azhar, Mesir dan boleh dihubungi melalui e-mel: shidi_buluh@yahoo.com dan blog: http://buluh.iluvislam.com.

BERADAB DALAM BERBEZA PENDAPAT

بسم الله الرحمن الرحيم


Dalam kita berbeza pendapat perlu kita menjaga adab-adab dalam berikhtilaf. Oleh itu artikel ini wajar dibaca, agar dalam kita berbeza pendapat, adab-adab masih lagi dijaga. Untuk mendapat capaian terus boleh ke URL dibawah.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1126&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm
Selamat membaca...
Beradab dalam berbeza pendapat




Oleh NIK ROSKIMAN ABDUL SAMAD


KITA harus menerima hakikat bahawa walaupun agama Islam itu satu, namun tafsiran terhadap Islam itu berbeza-beza. Pemahaman dan seterusnya penafsiran terhadap sumber-sumber Islam yang asal iaitu al-Quran dan al-Sunnah adalah tidak sama di kalangan para imam dan ulama mujtahid. Kerana itulah ia membawa kepada wujudnya pelbagai aliran atau disebut juga mazhab dalam dunia Islam sejak awal lagi.


Bahkan perbezaan kefahaman ini wujud sejak di zaman para sahabat Rasulullah SAW lagi. Kekalutan yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini ialah apabila munculnya sekelompok 'agamawan reformis' atau digelar juga 'progresif' yang mendakwa bahawa pendapat mereka sahajalah yang betul lalu mereka ini ingin melakukan apa yang disebut 'pembaikan' (islah) atau pembaharuan (tajdid) dalam masyarakat.


Pembaharuan ini ingin dilakukan atas pelbagai nama dan platform sama ada 'minda tajdid', atau mengemudi 'bahtera itu dan ini' dengan pelbagai slogan pula seperti 'kembali kepada al-Quran dan Sunnah', atau 'mengikut amalan generasi Salaf' dan seumpamanya.


Apa yang ingin digambarkan oleh kelompok 'mujaddid palsu' ini ialah selama ini amalan masyarakat kita kononnya tidak mengikut al-Quran dan Sunnah; nenek moyang dan ibu bapa kita tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenarnya; masyarakat kita banyak melakukan amalan bidaah sesat, bahkan turut mempertikaikan mengikut mazhab kerana katanya di zaman Nabi SAW dulu tiada mazhab lalu kenapa kita harus mengikut mazhab hari ini.


Tiada salah untuk melakukan pembaharuan malah ia dituntut apabila masyarakat menjadi semakin jauh dari amalan murni Islam yang sebenar lalu mencampur-adukkan dengan amalan khurafat dan bidaah sesat. Bahkan ada hadis dari Abu Hurayrah r.a., yang menyebut bahawa Allah akan membangkitkan setiap seratus tahun untuk ummah ini orang yang memperbaharui agamanya. (Sunan Abu Dawud)


Namun apa yang mengecewakan ialah apabila golongan-golongan ini bukannya 'memperbaharui' agama daripada perkara-perkara khurafat dan bidaah sesat, sebaliknya membongkar perkara-perkara khilafiyyah yang telah disepakati para ulama silam sejak ratusan tahun lalu untuk bersetuju berbeza pendapat (agree to disagree).


Kesan pembongkaran itu hanyalah menimbulkan keresahan dan keraguan di kalangan masyarakat sehingga membawa kepada perpecahan sesama sendiri.


Perkara-perkara khilafiyyah yang wujud dalam amalan mazhab-mazhab Ahlul Sunnah wal Jamaah seperti membaca qunut Subuh, keadaan jari telunjuk ketika tasyahhud perlu digerakkan atau tidak, berdoa beramai-ramai selepas sembahyang, dan seumpamanya tidak mungkin dapat diselesaikan hari ini jika dahulu pun tidak mampu diselesaikan oleh alim-ulama yang ratusan kali ganda lebih hebat daripada ulama-ulama hari ini dan lebih dekat dengan Rasulullah SAW dan generasi Salaf.


Menyedari hakikat bahawa perbezaan pendapat para ulama itu tidak dapat dielakkan khususnya dalam hal-hal ranting yang terperinci dalam ibadat, maka para ulama usul telah merumuskan bahawa "kebenaran dalam perkara ranting (furuk) itu berbilang-bilang." Ia suatu hakikat bahawa kebenaran dalam perkara bersifat 'cabang-cabang' Islam ini tidak mampu untuk diseragamkan menjadi satu walaupun ribuan ulama telah mencubanya sejak sekian lama.
Lalu selama kita mengikuti pandangan majoriti ulama (al-sawad al-a'zam) iaitu para imam mazhab empat dari kalangan Ahlul Sunnah wal Jamaah, maka insya-Allah kita berada di atas landasan dan jalan yang benar.


Renunglah nasihat para ulama silam dalam mengambil sikap beradab apabila menangani perbezaan pendapat dengan menekuni karya-karya mereka yang banyak berhubung dengan adabul ikhtilaf (Adab Berbeza Pendapat). Imam al-Shatibi r.a. sendiri sebagai contoh menulis: Sesungguhnya perbezaan pendapat yang terjadi pada zaman sahabat hingga ke hari ini berlaku adalah dalam masalah-masalah ijtihadiyyah. Pertama kali ia berlaku pada zaman Khulafa' al-Rasyidin dan sahabat-sahabat yang lain, lalu berterusan sehingga zaman para tabi'en dan mereka tidak saling mencela di antara satu sama lain. (al-I'tisom 2/191)


Selain tidak beradab dalam menangani perbezaan pendapat, golongan reformis agama ini juga mendakwa bahawa Islam yang sebenar ialah dengan mengikut al-Quran dan al-Sunnah dan bukannya mengikut mazhab.


Bunyinya menarik dan benar tetapi sebenarnya penuh dengan kebatilan dan kepalsuan seperti mana yang sering diungkapkan "kalimatul haq yuridu biha al-batil".


Mereka secara tidak langsung menyeru masyarakat menjadi 'bebas mazhab' (al-la madhabiyyah) suatu aliran yang dianggap 'bidaah' paling bahaya yang menentang syariat Islam seperti mana ungkapan Sheikh Dr. Said Ramadhan al-Buti dalam kitabnya al-la Madhhabiyya Akhtaru Bid'atin Tuhaddidu al-Shari'at al-Islamiyyah (Bebas Mazhab Bid'ah Paling Bahaya Menyalahi Syariat Islam).


Bahkan Imam Ibn Rajab al-Hanbali (meninggal dunia 795H/1393M) telah lama menentang aliran ini menerusi kitabnya Radd 'ala man Ittaba'a Ghayr al-Madhahib al-Arba'ah (Sanggahan Terhadap Mereka Yang Tidak Mengikut Mazhab Empat).


Kita perlu faham bahawa apabila disebut 'mengikut mazhab' bukanlah bermakna taksub kepada pandangan akali para Imam-Imam mazhab, kerana pandangan mereka itu juga sebenarnya didasarkan kepada al-Quran dan al-Sunnah. Bahkan mazhab itu sendiri bukanlah pandangan sosok tubuh seorang individu atau Imam mazhab semata-mata.


Mengikut mazhab Shafie bukan bermaksud mengikut pandangan Imam Shafie seorang diri sahaja, tetapi ia melibatkan sekumpulan para alima ulama yang mengikut kaedah mengistinbatkan hukum berdasarkan kaedah dan kriteria Imam Shafie.


Adalah tidak benar seperti apa yang cuba dimomokkan oleh kelompok agamawan reformis ini bahawa mengikut mazhab itu seolah-olahnya tidak mengikut al-Quran dan al-Sunnah. Terlalu dangkal jika kita berfikiran begitu dan terlalu hina kita meletakkan taraf keilmuan para imam-imam kita dan ulama mazhab yang menghabiskan usia menjadi penyuluh kegelapan umat dengan menelaah al-Quran, al-Hadis dan kitab-kitab saban waktu tanpa jemu.


Hidup mereka dipenuhi dengan ilmu dan pengajian sehingga ada ulama silam yang walaupun ketika sedang makan masih tetap menelaah kitab-kitab, sedangkan hidup kita penuh dengan bersenang-lenang dan berseronok-seronok.


Adalah amat mengecewakan apabila kita dapati ungkapan-ungkapan menghina para ulama silam dan dilontarkan bersahaja tanpa rasa bersalah bahkan dengan cukup biadab sekali sama ada dalam tulisan di dada-dada akhbar mahupun pada ceramah-ceramah.
Ini bukanlah bermaksud mengatakan bahawa para ulama itu maksum dan tidak melakukan kesalahan, tetapi pendekatan menghina itu tidak sewajarnya dilakukan apatah lagi oleh golongan agamawan sendiri.


Kesimpulannya, kelemahan para ulama bukanlah untuk didedahkan kepada masyarakat umum apatah lagi untuk dijadikan bahan ditertawakan kerana tiada sekelumit manfaat pun yang diperolehi dengan pendedahan sebegitu melainkan 'mengajar' masyarakat bersikap biadap terhadap para ulama silam.


Kita harus ingat bahawa kita juga ulama dan apabila kita 'mengajar' masyarakat awam biadap terhadap para alim-ulama silam dan tidak menghormati mereka, kita jangan terkejut jika masyarakat juga akan bersikap biadap terhadap kita selaku ulama suatu hari kelak'.


Penulis ialah Felo Pusat Perundingan dan Latihan, Institut Kefahaman Islam Malaysia.